SISTEM PENTAKSIRAN RSKKIDS
Pentaksiran Sekolah/Child Performance Assessment (CPA) adalah sebahagian daripada pendekatan pentaksiran yang merupakan satu proses mendapatkan maklumat tentang perkembangan murid yang dirancang, dilaksana dan dilapor oleh guru yang berkenaan. Proses ini berlaku berterusan sama ada secara formal dan tidak formal supaya guru dapat menentukan tahap penguasaan sebenar murid. CPA perlu dilaksanakan secara holistik berdasarkan prinsip inklusif, autentik dan setempat (localised). Maklumat yang diperoleh dari CPA akan digunakan oleh pentadbir, guru, ibu bapa dan murid dalam merancang tindakan susulan ke arah peningkatan perkembangan pembelajaran murid.
CPA boleh dilaksanakan oleh guru secara formatif dan sumatif. Pentaksiran secara formatif dilaksanakan seiring dengan proses p&p, manakala pentaksiran secara sumatif dilaksanakan pada akhir suatu unit pembelajaran, penggal, semester atau tahun. Dalam melaksanakan CPA, guru perlu merancang, membina item, mentadbir, memeriksa, merekod dan melapor tahap penguasaan murid dalam mata pelajaran yang diajar berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
CPA di Rskkids adalah satu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk mendapatkan maklumat tentang perkembangan dan pembelajaran murid. Ia merupakan perkara asas dan penting dalam proses p&p yang dijalankan secara berterusan.
Tujuan pentaksiran prasekolah adalah seperti berikut:
1. Mengesan pertumbuhan dan perkembangan murid bersesuaian dengan peringkat umur.
2. Mengenal pasti kecerdasan dan potensi murid bagi memperkukuh dan mempertingkatkan perkembangan secara menyeluruh.
3. Mengenal pasti kelebihan dan kekurangan murid dalam pembelajaran dari semasa ke semasa.
4. Memberi maklum balas kepada murid, ibu bapa/penjaga dan pentadbir sekolah tentang perkembangan dan pembelajaran murid dalam semua aspek yang terkandung dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.
5. Mengesan keberkesanan pengajaran guru serta peluang pembelajaran dan persekitaran yang disediakan.
6. Membantu guru merancang tindakan susulan yang berkesan untuk:
• Mengembangkan potensi murid ke tahap optimum.
• Membantu pembelajaran murid.
• Memperbaiki pengajaran guru.
Prinsip Pelaksanaan Pentaksiran Rskkids
1. Pentaksiran dijalankan merangkumi aspek kognitif, afektif dan psikomotor yang terdapat dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.
2. Pentaksiran dilaksanakan selari dengan tujuan yang telah ditetapkan.
3. Pentaksiran dilaksanakan secara berterusan sepanjang tempoh persekolahan.
4. Kaedah pentaksiran harus sah dan sahih; sesuai dengan perkembangan murid; dan berasaskan kaedah saintifik.
• Pentaksiran berasaskan kriteria dan bukan perbandingan antara murid.
• Kaedah pentaksiran yang adalah pemerhatian berterusan dan penilaian hasil kerja murid. Ujian atau peperiksaan formal tidak harus dilaksanakan.
• Data yang dikumpulkan perlu dianalisis supaya pelaporan yang dibuat adalah sah dan sahih.
• Dokumentasi pentaksiran perlu secara sistematik.
5. Pentaksiran harus dijalankan dengan penuh beretika dan mengambil kira hak asasi kanak-kanak.
Secara kesimpulannya, sistem pentaksiran Rskkids lebih menyeluruh dan bukan hanya ujian bertulis berbentuk formal yang ibubapa sedia maklum sebelum ini.
Ibubapa boleh merujuk laporan CPA yang diberikan semasa perjumpaan Ibubapa yang lalu untuk menyemak standard yang ada untuk pentaksiran.
Penilaian (lebih dikenali oleh Ibubapa sebagai Ujian/Peperiksaan) yang dilaksanakan di Rskkids mempunyai struktur yang berbeza dan lebih menyeluruh.
Tidak diberi markah dalam bentuk peratus atau gred.
- Penilaian dijalankan dalam bentuk pelbagai aktiviti, soal jawab (one to one), kuiz, projek, main-peranan dan akan dinilai mengikut tahap penguasaan 1, 2 atau 3 (Bukan markah atau gred).
- Penilaian Tunjang Komunikasi (Bahasa Melayu & Bahasa Inggeris) dibahagikan kepada 3 bahagian. Kemahiran Mendengar & Bertutur, Kemahiran Membaca & Kemahiran Menulis.
- Penilaian Tunjang Sains & Teknologi merangkumi Matematik Awal & Sains Awal
- Perkembangan Fizikal & Estetika merangkumi motor halus, motor kasar, kesihatan, keselamatan, muzik, drama dan seni visual.
- Perkembangan Sikap dan Nilai – Aqidah, ibadah, sirah, akhlak, doa, asas al-Quran/Jawi, Hafazan dan lain-lain
- Tunjang Kemanusiaan dengan tema saya dan keluarga, saya dan komuniti dan Malaysia negara saya.
- Tunjang Keterampilan Diri berkaitan pengurusan emosi diri yang positif and membina kemahiran sosial.
Perjumpaan Ibubapa dan guru di Rskkids diadakan secara formal 3 kali setahun dan diwajibkan kehadiran Ibubapa.